Assalamualaikum. Al-Fatihah untuk Shahrul Akhmar B Sharifuddin. I Sayang U!
Sejak arwah suami aku Chaon meninggal dunia, aku selalu rasa bersalah. Bersalah sebab aku tak tahu apa yang aku tengah rasa atau fikir atau harapkan tu boleh dirasa atau difikir atau diharap ke tak. Contohlah, aku rasa rindu sangat kat arwah suami. Aku harap aku boleh cepat2 jumpa arwah. Nak jumpa sangat2. Bila fikir balik, tak kan lah aku nak doa cepat2 mati, cepat2 kiamat dan kita semua cepat2 dibangkitkan semula pastu aku nak jumpa arwah kat sana. Tapi ofkos la kalau aku meninggal, aku tak akan terus jumpa arwah sebab bila kita meninggal, kita akan berseorangan dalam kubur sampailah hari kebangkitan kita nanti. Daripada berseorangan, baik duduk di dunia dengan keluarga dan kawan-kawan. Tambah dulu amal dan kuatkan iman. Mengerti? Jangan mintak mati awal tau dak? No No No. Ustaz Azhar Idrus kata, orang yang hidup ni beruntung sebab kita masih ada peluang untuk berzikir kepada Allah.
Aku rasa sedih bila orang cakap: hargailah orang yang tersayang masa dia masih hidup, bila dia dah takde baru nak menyesal memang tak guna. Itu bukan nasihat yang terbaekk untuk orang yang baru kematian suami seperti aku. Aku takdelah rasa menyesal bila arwah dah takde ni. Sikit2 ada lah. Tapi tak perlu lah list kan ape yang kau tak sempat buat dengan arwah atau ada ape2 permintaan arwah yang kau tak sempat tunaikan lepas tu meraung bersungguh-sungguh. Meraung sikit2 dalam hati takpe. Adalah tersentap jugak hati aku bila teringat ada benda yang arwah nak tapi aku abaikan permintaan dia. Sian arwah.
Dua hari sebelum meninggal tu kan, Rabu malam, kitrang pegi makan buffet kat Halia Restaurant. Balik tu memang kenyang, mengantuk, penat. Lepak tengok tv sambil teman arwah main FB n tukar cover photo kt profile FB dia. Aku tertido. Kejap2 terjaga sebab arwah tanya2 camne nak upload photo semua tu. Bila tak tahan sangat, aku nak masuk tido. Time tu arwah cakap 'tak buat milo untuk i pun'. Minuman kegemaran arwah. Biasanya pagi sebelum pi keje, kena ada milo suam. Lunch kalau time cuti, kena ada milo. Malam masa dinner, ada milo. Sebelum tidur kadang2 nak milo lagi segelas. Tapi aku mengantuk gila malam tu. Aku cakap esok pagi je la i buat milo eh? Arwah sebut 'hmm' sbb frust. Aku terus masuk tidur sebab aku ingat esok masih ada. Memang esoknya, Khamis masa ada. Arwah dapat milo fevret dia sebelum pegi keje as usual. Jumaat pagi pun masih ada. Arwah dapat milo terakhir dia. Sedih jugak tak buat milo untuk arwah malam hari Rabu tu. Kalau tak, arwah dah dapat extra segelas milo sebelum meninggal. Hah. Boleh fikir camtu? Over jugak kalau berfikiran camtu walaupun ada rasa bersalah. Ingat la kat Allah. Mintak ampun banyak2 ye. Memang berdosa tak penuhi permintaan suami. Lagi2 kalau dia tak redha bila isteri takmau buat apa yang dia mintak. Aku tak pasti berapa besar dosa tak buat milo untuk suami ni tapi aku harap korang yang ada suami lagi tu, buatlah apa yang suami mintak tu ye walaupun benda remeh. Nanti teringat-ingat pulak. Hiba tau. Rasa bersalah kan?
Bila arwah meninggal dunia, seboleh-bolehnya kami sekeluarga cuba untuk penuhi permintaan arwah atau keinginan arwah yang belum tertunai. Alhamdulillah senang kerja kitrang sebab arwah ada list kan perkara-perkara yang dia impikan dan ingin lakukan. Ada empat benda yang arwah nak. Pertama: kereta. Alhamdulillah kitrang berdua dah beli kereta sebulan sebelum berkahwin. Kereta idaman aku dan arwah, Myvi Kuning sekuneng gigi aku. Haha. Tidak tidak tidak. Gigi aku kaler krim. Arwah selalu ejek gigi aku kuning. Aku syak arwah suka gigi kuning aku. So, aku akan rasa bersalah kalau gosok gigi bersungguh-sungguh sebab takut gigi aku jadi putih pulak. Haha. Arwah sayang sangat kereta tu. Kalau aku drive pastu langgar lubang sikit pun arwah tak bagi. Kotor sikit dah susah hati nak hantar car wash. Lepas ni aku akan jaga kereta tu baik-baik dan ingat pesan arwah. Jangan langgar lubang!
Kedua: Arwah nak kahwin. Arwah dah kahwin. Alhamdulillah kami berdua dah jadi suami isteri. Yeay! Dah kahwin! Kau dah kahwin ke? Aku dah! Kami berdua dah kahwin! Singkat je tempoh kitrang berdua bersama sebagai suami isteri di dunia ni. Tapi aku bersyukur. Sekurang-kurangnya kami berdua 'terpisah' sebagai suami isteri yang sah. Kan? Walaupun belum cukup kumpul pahala sebagai isteri tapi aku bersyukur. Allah dah tetapkan takat tu je pahala aku dapat. Ada la jugak pahala sebagai isteri tu. Arwah selalu paksa aku sambut dia dengan senyuman kalau balik kerja sebab dia cakap aku akan dapat banyak pahala. Kalau arwah yang balik dulu, arwah akan menyorok di mana2 pastu sergah aku. Bila aku ketawa, arwah suka hati dan aku dapat pahala. Baik kan suami aku? Aku harap tak banyak la dosa sebagai isteri yang aku dah buat. Semoga arwah tak payah nak tanggung dosa aku banyak-banyak. Aku cuba jaga diri elok-elok sepanjang tempoh iddah ni. InsyaAllah. Semoga Allah ampunkan dosa aku dan ringankan azab untuk arwah tanggung disebabkan kelakuan aku. Semoga kami berdua ditemukan semula di Syurga sebagai sepasang suami isteri dan hidup bahagia selama-lamanya.
Ketiga: Nak ke luar negara - Bandung. Aku syak arwah buat list ni sebelum tahun 2012. Mungkin selepas aku beli tiket Air Asia ke Jakarta sebab tiket ke Bandung susah dapat dan mahal sikit. Sebelum kahwin kitrang ade join trip ke Jakarta-Bandung. Ini kali pertama aku dengan arwah ke luar negara. Plan nak beli barang kahwin sikit. Tapi memang sikit je la dapat sebab sibuk jalan-jalan bersuka ria dan shopping barang orang kirim. January selepas nikah pun kitrang berdua join trip ke Singapore. Ok dah dua kali ke luar negara kan Sayang? Masa berkawan dulu arwah cakap nak jalan-jalan seluruh Malaysia dengan aku. Sebelum kahwin memang kitrang rajin berjalan ke sini sana lebih-lebih lagi pergi kenduri kahwin kawan-kawan. Paling kerap kitrang pergi Brem Mall Kepong. Haha. Tempat dating. Tu aku ajak arwah kahwin cepat2. Boleh jalan-jalan jauh berdua dengan senang hati.
Keempat: Aku consider hasrat arwah belum tertunai. Yang ni jugak arwah pernah suarakan kat aku. Nak bawak family dia pergi jalan-jalan bercuti. Sebelum kahwin, simpan duit untuk kahwin. Lepas kahwin duit habis masa honeymoon ke Singapore dll. Aku pulak bagi notis berhenti kerja awal sebulan. Kitrang berjimat lepas kahwin. So, arwah nak bawak family dia jalan-jalan bila kitrang berdua dah stabil dan ada rezeki lebih. InsyaAllah aku akan plan dengan family ipar untuk pergi jalan2 same2 dengan mertua. Harap2 menjadi. Hari tu aku dah jalan2 ke Parit Buntar n Penang dengan kedua2 mertua tapi lebih kepada nak pergi kenduri sedara mara.
Seperti kata Yusenze, mak ayah mertua tetap mak ayah mertua. Takde istilah bekas mak mertua, bekas ayah mertua. Arwah anak yang baik. Tak pernah nak lupa kat mak dia. Dia sayang betul mak dia. Kadang-kadang aku jadi jeles. Nak-nak bila arwah ngan mak nye berpakat dulu masa arwah merajuk takmau jawab call aku. Aku call mak arwah, mak dia cakap kejap eh nak panggil. Pastu dengar suara arwah. Mak dia macam ketawa sorok-sorok. Mak dia tiba-tiba cakap dia takde la Dayah. Hah. Amboi-amboi. Tapi terima kasihla mak ye sebab kasi Dayah kahwin dengan anak mak. Muda lagi anak mak tu tapi Dayah dah rembat awal-awal. Tak sempat mak nak manja lebih-lebih. Dayah tau berat hati mak nak lepaskan satu-satunya anak kesayangan mak tu. Sorry ye mak. Terima kasih banyak-banyak ye mak.
Bila ada antara keluarga kita meninggal dunia, tak semestinya kita berusaha nak penuhi permintaan arwah tu je ye. Kita kena tolong arwah untuk tambah pahala dia. Macam yang Ustaz Azhar Idrus cakap tadi, orang yang dah meninggal dah tak boleh nak berzikir kepada Allah. Aku bukanlah baik sangat tapi aku harap aku jadi baik dan kekal baik. Aku cuba untuk banyakkan pahala arwah dan banyakkan juga pahala aku. Takde la perfect sangat tapi jangan ejek aku tau. Support aku ok. Aku bukan lah tau sangat apa aku patut buat. Tapi biasanya orang yang masih hidup ni akan upah umrah untuk arwah, upah haji dan paling penting, sedekah. Takde duit nak sedekah dan upah haji atau umrah? Kalau mampu la kan. Tak semestinya sedekah duit. Sedekah bacaan Al-Quran, Yasiin, Al-Fatihah, selawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w. dan sebagainya. Dan jangan lupa selitkan doa untuk arwah. Semoga aku istiqamah dalam bersedekah untuk arwah. Ini lah hikmahnya arwah meninggal dunia. Bini dia jadi baik sikit. Moga-moga bini dia jadi baik banyak. Haha. No no no! Jangan nak cakap kalau arwah ada aku jadi jahat. Amboi. Pang satgi! Ikhlas ni Sayang! I ikhlas sayang u tau Sayang! Semoga aku tak pura-pura baik atau perasan baik tapi ikhlas. Amin.
* Dan aku bukanlah sedang berada di kedudukan roda paling bawah. Ingat! Aku seorang yang bertuah. Ye! Sangat bertuah! Alhamdulillah..
* Dan aku bukanlah sedang berada di kedudukan roda paling bawah. Ingat! Aku seorang yang bertuah. Ye! Sangat bertuah! Alhamdulillah..
"Apabila mati anak Adam, maka terputuslah amalannya melainkan tiga perkara ; Sedekah Jariah, Ilmu yang bermanfaat, Anak soleh yang mendoakan ke atasnya" - Hadith diriwayatkan oleh Muslim, Abu Daud, Tirmidzi, al-Nasaa'i dan al-Bukhari.

















